Selasa, 3 April 2012

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, Doa dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad, kaum keluarganya dan kerabatnya, Para sahabatnya yang tercinta, serta para pengikutnya yang sentiasa menunjukkan ke arah jalan yang benar.

Buatmu Isteriku,

Daku coretkan warkah terakhir ini untuk dijadikan tatapan bagi dirimu setelah aku tiada lagi di dunia ini. Daku pohon segala kemaafan daripadamu di sepanjang hayatku. Aku hanyalah insan kerdil yang menumpang hidup di dalam dunia yang fana ini. Tidak ku mampu untuk menahan segala cabaran dan rintangan yang mendatang dari pelbagai arah. Aku hanyalah seorang manusia yang dipenuhi hawa nafsu seperti manusia-manusia lain yang dijadikan Allah di atas muka bumi Nya ini. Pemergianku janganlah ditangisi kerana sesungguhnya, tidak ku mampu untuk memiliki tubuh ini buat selama-lamanya. Tubuh ku ini adalah hak milik Yang Maha Esa. Akan pasti Dia akan menjemput ku pulang ke pangkuan Nya suatu hari nanti. Kealpaan serta kelalaian di sepanjang kehidupan menjadikan aku leka dalam memperjuangkan kebenaran untuk menegakkan yang hak.

Jika aku sudah tiada lagi di muka bumi Allah ini, tunaikanlah segala kewajipan yang dituntut ke atas dirimu kerana sesungguhnya yang demikian itu tidaklah datang dari diri ku yang hina ini tetapi ianya datang dari perintah Yang Maha Berkuasa. Ingatlah, hidup kita sebagai manusia yang kerdil ini hanya untuk beribadah kepada Nya. Daripada Nya kita datang dan hanya kepada Nya jua kita kembali. Saat pemergian manusia dari bumi ini tidak lain dan tidak bukan hanya untuk dihisab segala amalnya ketika di dunia. Setiap perlakuan daku walau sebesar zarah tetap akan dibalasi oleh Yang Masa Esa. Tiada apa daya lagi yang mampu aku harapkan melainkan hanya ketulusan doa mu dari hati yang suci yang mampu menjadi bekalku di akhirat kelak.

Aku juga khuatir akan pemergian ku ini akan membuatmu menjadi derita sepanjang hayat. Hanya satu pesanan ku, janganlah ditangisi pemergian ku kerana yang pergi itu hanya jasad ku yang sudah mati dan tidak bernyawa lagi tetapi kata-kata semangat yang telah aku ucapkan itu mampu menemani mu di sepanjang hayat. Andai kata kita ditakdirkan untuk berjumpa di syurga yang indah, hanya ucapan “Alhamdulillah” yang tidak terhingga yang mungkin aku ucapkan walaupun lidah ku tidak mampu berkata apa-apa ketika itu. Ku harap dikau mampu menemani ku di syurga kelak sebagai seorang bidadari di sisi ku andaikata kita masih ditakdirkan untuk bersama. Tiada apa yang mampu ku coretkan lagi dalam warkah terakhir ini. Hanya salam sayang buat isteriku yang tercinta. Semoga pertemuan kita buat kali kedua akan menjadi lebih bermakna di sisi Allah.

Buatmu dari seorang suami yang telah tiada.


Esok belum tentu matahari masih mencerah merah
entah-entah sudah padam di kelopak mata kita..

Isnin, 12 Mac 2012

Aku Sayang kalian

Dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua ketul bata disatukan dengan simen. Dua hati disatukan dengan apa? Jawabnya, dengan iman. Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati yang SATU, pasti mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami dan isteri, akan mudah bersatu bila iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.

Bukan tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di hati sama-sama masih ada ALLAH, perdamaian akan mudah menjelma semula. Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Itulah yang ditunjuk oleh teladan rumah tangga Rasulullah s.a.w. Ada ribut… tetapi sekadar di dalam cawan. Ada gelombang… tetapi cepat-cepat menjadi tenang.

Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang lebih cinta pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah yang lebih cintakan pasangannya. Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana hendak mengekalkan cinta antara kita berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu agar mencintai kepada yang Esa. Jika kita bersama cintakan yang Maha Kekal, pasti cinta kita akan berkekalan.

Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah iman, boleh menaik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego (takbur). Jangan ada takbur, cinta pasti hancur. Orang takbur merasa dirinya lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada cinta? Cinta itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak ada tangan yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling membersihkan. Tetapi ‘tangan’ yang ego, tidak mahu bersentuhan… Konon takut dikotorkan oleh tangan yang lain!

Bila berbeza pandangan, pandangannya sahaja yang benar. Kau isteri, aku suami. Aku ketua, kau pengikut. Aku putuskan, kau ikut saja. Jangan cuba menentang. Menentang ertinya dayus. Maka terkapai-kapailah sang isteri tanpa boleh bersuara lagi. Sedikit cakap, sudah dibentak. Senyap-senyap, isteri menyimpan dendam. Suami ‘disabotaj’nya dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan hambar. Perlahan-lahan, jarak hati semakin jauh. Cinta semakin rapuh.

Ada pula isteri yang ego. Heroin sudah mengaku hero. Suami dicaturnya satu-satu. Tidak jarang meninggikan suara. Silap suami yang sedikit didera dengan rajuknya yang panjang. Anak-anak dibiarkan. Dapur berselerak. Pinggan mangkuk tidak dibasuh. Kain baju sengaja disepah-sepahkan. Rasakan akibat menentang aku. Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf? Pantang sekali!

Ego sisuami selalunya terserlah. Boleh dilihat daripada jegilan mata dan suara yang meninggi. Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat atau hon kereta ditekan bertalu-talu. Atau boleh jadi diherdik siisteri di hadapan anak-anak atau isteri diperleceh di hadapan saudara mara atau tetamu yang datang. Bila ramai yang datang bertandang itulah masa sisuami yang ego ini menunjukkan kuasa dan belangnya.

Ego siisteri terpendam. Mungkin kerana tidak ada dominasi kuasa atau keberanian, siisteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam ragam. Daripada sengaja melaga-lagakan pinggan yang dibasuh… sehinggalah memalingkan badan dan muka ketika di tempat tidur.

Alhasil, cuaca rumah tangga menjadi muram. Rumah hanya jadi ‘house’ tidak jadi ‘home’ lagi. Tidak ada keceriaan, kehidupan dan kemanisannya lagi. Semuanya bungkam. Ya, rumah (house) dibina dengan batu, kayu dan konkrit, manakala rumah tangga (home) dibina dengan kasih sayang, cinta dan sikap saling menghormati. Tidak ada rindu yang menanti suami ketika pulang dari bekerja. Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti di rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa sudah jadi pada kedua ibu-bapa ku?

Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi. Retak akan menjadi belah. Kekadang hati keduanya merintih, mengapa jadi begini? Bukankah antara aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa semakin jarak? Apakah yang perlu aku dan dia lakukan untuk menyemarakkan semula rasa cinta. Lalu akal berfikir, berputar-putar mencari idea. Oh, mari ulangi musim bulan madu yang lalu. Kita susuri pulau, tasik, laut atau lokasi pertemuan kita nan dulu.

Malang, cuma sebentar. Gurau, senda cuma seketika. Tidak mampu lagi memutar jarum kenangan lama dengan hati yang telah berbeza. Tidak ada lagi tarikan fizikal yang ketara. Cumbu berbaur ghairah seakan telah terlupa. Bulan madu yang cuba diperbaharui tidak menjadi… kedua hati bercakar lagi. Mereka cuba memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati. Selagi ada ego, ke mana pun tidak akan menjadi. Jika ada ego, yang wangi jadi busuk, yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar.

Ada juga pasangan yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan kembali rasa cinta dengan mata benda. Nah, ini kalung emas ribuan ringgit sebagai tanda cinta ku masih pada mu, kata suami. Dan ini pula cincin berlian untuk memperbaharui kemesraan kita, balas siisteri. Masing-masing bertukar hadiah. Semoga dengan barang-barang berharga itu akan kembalilah cinta. Namun sayang sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak juga menggamit datangnya cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada di hati. Nur itu tidak akan ada selagi ego masih ada di jiwa.

Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil ego yang menghalang. Ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati walaupun fizikal masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak ramai, masih tersenyum dan mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati masing-masing TST (tahu sama tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.

Pasangan yang begitu, boleh menipu orang lain. Namun, mampukah mereka menipu diri sendiri? Yang retak akhirnya terbelah. Penceraian berlaku. Mereka berpisah. Masyarakat yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra tiba-tiba berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut melanda. Oh, mereka tertipu. Perpaduan yang mereka lihat selama ini hanyalah lakonan. Allah membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya:
“Kamu lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”

Carilah di mana Allah di dalam rumah tangga mu. Apakah Allah masih dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama ahli keluarga mu? Apakah sudah lama rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan zikir dan bacaan Al Quran? Apakah sudah luput majlis tazkirah dan tarbiah yang menjadi tonggak dalam rumah tangga? Di mana pesan-pesan iman dan wasiat taqwa yang menjadi penawar ujian kebosanan, kejemuan dan keletihan menongkah arus ujian?

Penyakit ego menimpa apabila hati sudah tidak terasa lagi kebesaran Allah. Orang yang ego hanya melihat kebesaran dirinya lalu memandang hina pasangannya. Hati yang ego itu mesti dibasuh kembali dengan rasa bertauhid menerusi ibadah-ibadah khusus – solat, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah – dan paling penting majlis ilmu jangan diabaikan.

Firman Allah:
“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.”

Sedangkan orang mukmin pun perlu diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin? Iman itu seperti mana yang dimaksudkan hadis, boleh menambah dan mengurang. Untuk memastikan ia sentiasa bertahan malah bertambah, hati perlu berterusan bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakburan dengan mengingatkan bahawa Allah benci kepada orang yang takbur walaupun sasaran takbur itu suami atau isteri sendiri.

Bila terasa bersalah, jangan malu mengaku salah. Segeranya mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Begitulah suami yang meminta maaf kepada isterinya. Dia tidak akan hilang kewibawaannya bahkan bertambah tinggi. Bukankah orang yang merendahkan diri akan ditinggikan Allah derjat dan martabatnya? Justeru, lunturkan ego diri dengan membiasakan diri meminta maaf. Tidak kira ketika kita rasa kita benar, lebih-lebih lagi apabila terasa kita yang bersalah.

Namun, lelaki yang tewas ialah lelaki yang sukar mengaku salah. Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada ketika itu dia telah memiliki salah satu dari tiga ciri takbur yakni menolak kebenaran. Akuilah kebenaran walaupun kebenaran itu berada di pihak isteri. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah. Jangan bimbang takut-takut dikatakan orang takutkan isteri. Kita takutkan Allah. Allah benci orang yang takbur.

Begitu juga isteri. Jika sudah terbukti salah, akui sahajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan isteri, apakah penting siapa yang menang, siapa yang kalah? Kita berada di dalam gelanggang rumah tangga bukan berada di ruang mahkamah. Kesalahan suami adalah kesalahan kita juga dan begitulah sebaliknya. Rumah tangga wadah untuk berkongsi segala. Perkahwinan satu perkongsian, bukan satu persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya? Padahal, kita akan terus hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah bumbung yang sama.

Mujahadahlah sekuat-kuatnya menentang ego. Bisikan selalu di hati, Allah cintakan orang yang merendah diri. Allah benci orang yang tinggi diri. Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat yang paling rapat. Kita dan dia hakikatnya satu. Ya, hati kita masih dua, tetapi dengan iman ia menjadi satu. Bukan satu dari segi bilangannya, tetapi satu dari segi rasa. Sebab itu sering diungkapkan, antara makhluk dengan makhluk mesti ada Khalik yang menyatukan. Ingat, hanya dengan iman, takbur akan luntur, cinta akan subur!

Kebahagiaan itu milik kita !

Ahad, 5 Februari 2012

Kehadhiranmu adalah mustika

Jelmaanmu merentas bongkah sendu
Mengorban naluri merungkai pilu
Mengharungi gurun tanpa bayu
Isteriku...
Kehadhiranmu adalah mustika
Mengerlip cahaya sakinah
Laksana bintang membentuk arah burujnya
Isteriku...
Saban waktu, dirimu abdi di gobokku
Senyum manismu menenang jiwaku
Kerlinganmu mengorak senyumku
Kesetiaanmu menyejuk mataku
Isteriku...
Ketika kesejukan mataku
Memandang wajahmu duhai isteriku
Memori ini mengimbau zaman remajaku
Dikala kuhamparkan tangan ke awan biru
Merintih harap isteri yang solehah
Penyejuk mata dan penyeri rumahtangga
Isteriku...
Di senjakala, ku menongkat resah
Dirimu tersangkar dalam kemiskinanku
Dirimu tak punya manikam permata untuk kukalungkan
Tiada nota ringgit untuk kuunjukkan
Tiada lambang kemewahan untukku hamparkan
Dirimu hanya ku langir debu
Ku balutkan jubah
Ku hilangkan dahagamu secangkir cuma
Ku hambat bosanmu seketika sahaja
Isteriku...
Di hening subuh ku merenung sayu
Dirimu kesepian dalam kesibukkanku
Hari-hari berlabuh kita berasingan
Kesedihanmu, sementara diriku di medan
Kesakitanmu pun tiada aku disisi
Rumahku, dirimulah penanti setia
Sementara bagiku, ia hanyalah dangau persinggahan
Isteriku...
Dirimu masih setia dalam sangkar yang sepi
Demi nilai cinta dan ketaatanmu
Isteriku...
Dongaklah wajahmu ke atas
Hulurlah tanganmu ke hadapan
Tabahlah duhai isteriku
Tidakkan ku sia siakan hidupmu
Kan ku hidangkan ilmu buatmu
Kan ku bawamu ke alam perjuangan
Kan ku hantarkan ke perlembahan hidayah
Isteriku...
Bajailah cinta kita
Tenggelamkanlah kemelut rasamu
Isteriku...
Diriku tetap setia disampingmu
Sayang isteriku...
sayang isteriku

Isnin, 30 Januari 2012

Pesan Buat Anakku

Anak ku
Jika waktuku untuk bernafas hanya tinggal setahun
aku akan mengingatkanmu untuk menundukkan kepala
dan sujud kepadaNYA...tanpa satupun khilaf...
aku akan mengantarkanmu disetiap gerbang hidup
yang kan kau lalui

jika waktuku tinggal sebulan untuk mendampingimu
melangkah lalui hari demi hari...
aku akan isi setiap jam untukmu...cerita tentang cinta
yang tak berbatas alam ini
tahukah kau anakku
bahwa hidup ini adalah buah cinta
yang tak dapat digantikan oleh apapun
kecuali cinta itu sendiri

jika waktuku tinggal satu jam saja bersamamu
aku akan ceritakan padamu tentang kematian itu
aku akan ceritakan tentang tidur panjang yang indah itu
bila kita menorehnya dengan kasih sayang
bila kita ada dan berguna bagi yang lain
bila kita hidup tanpa mengacak alam ini
bila kita hidup
dan ingat pada kematian itu
bila kita selalu meminta dan bersyukur
pada yang menjaga hidup dan kematian itu

bila waktuku tiba
anakku
camkan apa yang telah kukalungkan dihatimu
agar kau tau bahwa hidup ini indah
jika kau melukisnya dengan doa
Dengan rasa syukur

Sabtu, 28 Januari 2012

Hidup Hanya Sementara

Sesungguhnya tempoh perjalanan kehidupan di dunia ini cukup singkat. Memang kita sekalian hamba mungkin merasakan hidup 60 atau 70 tahun itu sebagai suatu masa yang agak panjang. Namun hakikatnya kebanyakan kita sekalian hamba ini lebih banyak membuang usia sia-sia berbanding menggunakan setiap detik yang ada itu penuh dengan kemanfaatan.

Mudah-mudahan apa saja yang kita sekalian hamba ini lakukan tidak akan tergelincir dari landasan, tidak terpesong dari jalan yang telah diberi. Memang mudah memberi alasan, bahawa kita sekalian hamba ini insan nan lemah, serba kekurangan dan sentiasa tidak dapat lari dari kesilapan. Bagaimanapun, kita sekalian hamba ini tentu mengerti antara membiar diri tergelincir dengan berusaha mengelak diri dari tergelincir.

Jika tidak, masakan lahir ungkapan-ungkapan berkias bagi menggambarkan keadaan, bagi menilai situasi sebenar yang berlaku. Jangan bermain dengan api jika takut terbakar. Sifat api itu memang membakar, namun kita sekalian hamba inilah yang perlu pandai menggunakan dan mengawal api jika tidak mahu terbakar olehnya.

Namun kita sekalian hamba ini memang sukar untuk diramal cara pemikirannya, sukar diduga apa yang ada di dalam kepala serta hatinya. Malahan kita sekalian hamba ini juga kadangkala tidak mengerti tentang diri sendiri, apatah lagi ingin memahami orang lain. Bagaimana pun kita sekalian hamba ini saling memerlukan, saling mencukupkan mana-mana yang kurang. Kerana kita sekalian hamba ini bukan hidup sendirian.

Alangkah indah, alangkah manis kehidupan ini andai kita sekalian hamba ini sentiasa membahagiakan orang lain, dan begitulah sebaliknya. Apapun, kehidupan yang kita sekalian hamba sedang lalui ini merupakan kehidupan fana, kehidupan sementara. Sedangkan kehidupan manis itu adalah kehidupan abadi yang masih jauh untuk kita sekalian hamba ini kecapinya.

Tiada sesuatu yang akan kita sekalian hamba ini perolehi dengan percuma. Apa jua, memerlukan usaha atau mungkin kita sekalian hamba ini harus membayarnya. Namun ada hal-hal yang kita sekalian hamba ini ingin perolehi tak boleh bayar dengan wang ringgit berjuta – kerana bukan itu nilainya. Mungkin sesuatu itu akan kita sekalian hamba perolehi hanya dengan keimanan, ketakwaan, keikhlasan, kejujuran atau segala macam bentuk nilai kejiwaan.

Belayar di lautan kehidupan, biarpun kita sekalian hamba ini tahu ke mana arah yang hendak di tuju. Kita sekalian hamba ini telah di arah yang harus di tuju. Telah disediakan kemudi, telah di beri pendayung…tinggal cuma melayarkan bahtera kehidupan sahaja. Namun, kita sekalian hamba jangan lupa pada badai yang bakal melanda, pada taufan yang menggila. Bagaimana sekalipun gelora yang melanda, selagi kita sekalian hamba tetap berpandu pada arah, tetap tidak melepas kemudi, pastinya kelak sampai jua pelabuhan nan dicari.

Adakala kita sekalian hamba ini patut-patut sangat bersyukur kepada Maha Pencipta kerana sering memberi dugaan. Andai dengan dugaan yang diberikan itu akan lebih membuka mata yang memang tidak buta. Mudah-mudahan akan lebih mendekatkan kita kepada-Nya yang sememangnya dekat. Hendaknya juga, kita sekalian hamba ini tidak terus terlena di dalam jaga – asyik dibuai keindahan kehidupan sementara.

Mungkin kita sekalian hamba patut renungkan seketika – dugaan dan kesusahan itu suatu nikmat, sedangkan kesenangan itu suatu cabaran dan tanggungjawab berat.Memikirkan kembali, kita sekalian hamba ini dijadikan kerana apa, untuk apa. Berapa ramai di antara kita sekalian hamba ini menyedari bahawa kita sekalian hamba ini sepatutnya menjalankan tugas sebagai hamba-Nya? Berapa ramai di antara sekalian kita hamba ini yang tersesat di jalan nan terang? Teraba-raba mencari arah di jalan nan lurus? Atau berapa ramaikah di antara kita sekalian hamba ini yang tersungkur di lantai yang rata?

Hidup dan kehidupan di alam fana ini singkat – cukup singkat sebenarnya! Namun biar sesaat atau sehari sekalipun kita sekalian hamba ini dihidupkan, sudah cukup memadai andai setiap detik yang diberikan itu dipenuhi dengan keberkatan. Berbanding apalah gunanya jika bernafas sejuta tahun sekalipun, tetapi tak ada sekelumit pun keberkatan yang melekat. Kualiti atau kuantiti yang kita sekalian hamba ini perlukan?

Mudah-mudahan kita sekalian hamba ini mempunyai hidup dan kehidupan yang berkualiti. Menjadi seorang hamba yang disayangi oleh Maha Pencipta, juga disenangi oleh sesama hamba. Sentiasa senang dan tenang berbakti kepada Pencipta Maha Agung, juga sentiasa senang dan tenang berurusan dengan sesama makhluk.

Dalam masa yang singkat ini, kita sekalian hamba ini harus menggunakan sebaiknya. Agar kita sekalian hamba ini akan mampu menikmati segala janji-Nya dalam kehidupan akan datang. Sentiasa memupuk rasa kehambaan kepada-Nya, sentiasa menyemai rasa kasih sayang sesama hamba, demi kehidupan penuh keberkatan.

Pada sesuatu di antara waktu, ada kita sekalian hamba ini, yang sentiasa mengharap kasih sayang Maha Pengasih lagi Penyayang, yang sentiasa meminjam daripada Maha Pemurah. Makanya, kita sekalian hamba ini, dalam mencari sesuatu di antara waktu, harus sentiasa bersyukur kepada Maha Pencipta. Semoga kasih sayang-Nya membuat kita sekalian hamba ini lebih sedar diri.