Dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua ketul bata disatukan dengan simen. Dua hati disatukan dengan apa? Jawabnya, dengan iman.
Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati
yang SATU, pasti mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami dan
isteri, akan mudah bersatu bila iman di dalam diri masing-masing
sentiasa disuburkan.
Bukan tidak pernah terguris.
Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di hati sama-sama masih ada
ALLAH, perdamaian akan mudah menjelma semula. Yang bersalah mudah
meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada dendam memanjang.
Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Itulah yang ditunjuk oleh
teladan rumah tangga Rasulullah s.a.w. Ada ribut… tetapi sekadar di
dalam cawan. Ada gelombang… tetapi cepat-cepat menjadi tenang.
Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang lebih cinta pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah yang lebih cintakan pasangannya.
Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana hendak
mengekalkan cinta antara kita berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu
agar mencintai kepada yang Esa. Jika kita bersama cintakan yang Maha
Kekal, pasti cinta kita akan berkekalan.
Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah iman, boleh menaik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego (takbur).
Jangan ada takbur, cinta pasti hancur. Orang takbur merasa dirinya
lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada cinta?
Cinta itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak ada tangan
yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling membersihkan.
Tetapi ‘tangan’ yang ego, tidak mahu bersentuhan… Konon takut dikotorkan
oleh tangan yang lain!
Bila berbeza pandangan,
pandangannya sahaja yang benar. Kau isteri, aku suami. Aku ketua, kau
pengikut. Aku putuskan, kau ikut saja. Jangan cuba menentang. Menentang
ertinya dayus. Maka terkapai-kapailah sang isteri tanpa boleh bersuara
lagi. Sedikit cakap, sudah dibentak. Senyap-senyap, isteri menyimpan
dendam. Suami ‘disabotaj’nya dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh
tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan hambar. Perlahan-lahan, jarak hati
semakin jauh. Cinta semakin rapuh.
Ada pula isteri yang ego. Heroin
sudah mengaku hero. Suami dicaturnya satu-satu. Tidak jarang
meninggikan suara. Silap suami yang sedikit didera dengan rajuknya yang
panjang. Anak-anak dibiarkan. Dapur berselerak. Pinggan mangkuk tidak
dibasuh. Kain baju sengaja disepah-sepahkan. Rasakan akibat menentang
aku. Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf? Pantang sekali!
Ego sisuami selalunya terserlah. Boleh dilihat daripada jegilan mata dan suara yang meninggi.
Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat atau hon kereta ditekan
bertalu-talu. Atau boleh jadi diherdik siisteri di hadapan anak-anak
atau isteri diperleceh di hadapan saudara mara atau tetamu yang datang.
Bila ramai yang datang bertandang itulah masa sisuami yang ego ini
menunjukkan kuasa dan belangnya.
Ego siisteri terpendam. Mungkin kerana tidak ada dominasi kuasa atau keberanian, siisteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam ragam. Daripada sengaja melaga-lagakan pinggan yang dibasuh… sehinggalah memalingkan badan dan muka ketika di tempat tidur.
Alhasil, cuaca rumah tangga
menjadi muram. Rumah hanya jadi ‘house’ tidak jadi ‘home’ lagi. Tidak
ada keceriaan, kehidupan dan kemanisannya lagi. Semuanya bungkam. Ya, rumah
(house) dibina dengan batu, kayu dan konkrit, manakala rumah tangga
(home) dibina dengan kasih sayang, cinta dan sikap saling menghormati.
Tidak ada rindu yang menanti suami ketika pulang dari bekerja. Tidak
ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti
di rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa sudah jadi pada kedua ibu-bapa
ku?
Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi.
Retak akan menjadi belah. Kekadang hati keduanya merintih, mengapa jadi
begini? Bukankah antara aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa semakin
jarak? Apakah yang perlu aku dan dia lakukan untuk menyemarakkan semula
rasa cinta. Lalu akal berfikir, berputar-putar mencari idea. Oh, mari
ulangi musim bulan madu yang lalu. Kita susuri pulau, tasik, laut atau
lokasi pertemuan kita nan dulu.
Malang, cuma sebentar. Gurau,
senda cuma seketika. Tidak mampu lagi memutar jarum kenangan lama dengan
hati yang telah berbeza. Tidak ada lagi tarikan fizikal yang ketara.
Cumbu berbaur ghairah seakan telah terlupa. Bulan madu yang cuba
diperbaharui tidak menjadi… kedua hati bercakar lagi. Mereka cuba
memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati. Selagi ada ego, ke mana
pun tidak akan menjadi. Jika ada ego, yang wangi jadi busuk, yang manis
jadi tawar, yang indah jadi hambar.
Ada juga pasangan yang hendak
‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan kembali rasa cinta dengan mata
benda. Nah, ini kalung emas ribuan ringgit sebagai tanda cinta ku masih
pada mu, kata suami. Dan ini pula cincin berlian untuk memperbaharui
kemesraan kita, balas siisteri. Masing-masing bertukar hadiah. Semoga
dengan barang-barang berharga itu akan kembalilah cinta. Namun sayang
sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak juga menggamit datangnya
cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada di hati. Nur itu tidak akan ada
selagi ego masih ada di jiwa.
Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil ego yang menghalang.
Ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati walaupun fizikal
masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak ramai, masih tersenyum dan
mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati masing-masing
TST (tahu sama tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.
Pasangan yang begitu, boleh
menipu orang lain. Namun, mampukah mereka menipu diri sendiri? Yang
retak akhirnya terbelah. Penceraian berlaku. Mereka berpisah. Masyarakat
yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra tiba-tiba berpisah?
Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut melanda. Oh, mereka
tertipu. Perpaduan yang mereka lihat selama ini hanyalah lakonan. Allah
membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya:
“Kamu lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”
Carilah di mana Allah di dalam rumah tangga mu.
Apakah Allah masih dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama ahli
keluarga mu? Apakah sudah lama rumah mu menjadi pusara akibat
kegersangan zikir dan bacaan Al Quran? Apakah sudah luput majlis
tazkirah dan tarbiah yang menjadi tonggak dalam rumah tangga? Di mana
pesan-pesan iman dan wasiat taqwa yang menjadi penawar ujian kebosanan,
kejemuan dan keletihan menongkah arus ujian?
Penyakit ego menimpa apabila
hati sudah tidak terasa lagi kebesaran Allah. Orang yang ego hanya
melihat kebesaran dirinya lalu memandang hina pasangannya. Hati yang ego
itu mesti dibasuh kembali dengan rasa bertauhid menerusi ibadah-ibadah
khusus – solat, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah – dan paling
penting majlis ilmu jangan diabaikan.
Firman Allah:
“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.”
Sedangkan orang mukmin pun perlu
diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin? Iman itu seperti
mana yang dimaksudkan hadis, boleh menambah dan mengurang. Untuk
memastikan ia sentiasa bertahan malah bertambah, hati perlu berterusan
bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakburan dengan
mengingatkan bahawa Allah benci kepada orang yang takbur walaupun
sasaran takbur itu suami atau isteri sendiri.
Bila terasa bersalah, jangan malu mengaku salah.
Segeranya mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf. Ular yang
menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Begitulah suami yang meminta
maaf kepada isterinya. Dia tidak akan hilang kewibawaannya bahkan
bertambah tinggi. Bukankah orang yang merendahkan diri akan ditinggikan
Allah derjat dan martabatnya? Justeru, lunturkan ego diri dengan
membiasakan diri meminta maaf. Tidak kira ketika kita rasa kita benar,
lebih-lebih lagi apabila terasa kita yang bersalah.
Namun, lelaki yang tewas ialah
lelaki yang sukar mengaku salah. Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada
ketika itu dia telah memiliki salah satu dari tiga ciri takbur yakni
menolak kebenaran. Akuilah kebenaran walaupun kebenaran itu berada di
pihak isteri. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah.
Jangan bimbang takut-takut dikatakan orang takutkan isteri. Kita
takutkan Allah. Allah benci orang yang takbur.
Begitu juga isteri. Jika sudah
terbukti salah, akui sahajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan
isteri, apakah penting siapa yang menang, siapa yang kalah? Kita berada
di dalam gelanggang rumah tangga bukan berada di ruang mahkamah.
Kesalahan suami adalah kesalahan kita juga dan begitulah sebaliknya.
Rumah tangga wadah untuk berkongsi segala. Perkahwinan satu perkongsian,
bukan satu persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya? Padahal, kita
akan terus hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah bumbung
yang sama.
Mujahadahlah sekuat-kuatnya menentang ego.
Bisikan selalu di hati, Allah cintakan orang yang merendah diri. Allah
benci orang yang tinggi diri. Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat
yang paling rapat. Kita dan dia hakikatnya satu. Ya, hati kita masih
dua, tetapi dengan iman ia menjadi satu. Bukan satu dari segi
bilangannya, tetapi satu dari segi rasa. Sebab itu sering diungkapkan,
antara makhluk dengan makhluk mesti ada Khalik yang menyatukan. Ingat,
hanya dengan iman, takbur akan luntur, cinta akan subur!
Kebahagiaan itu milik kita !
Kebahagiaan itu milik kita !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan