Selasa, 3 April 2012

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, Doa dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad, kaum keluarganya dan kerabatnya, Para sahabatnya yang tercinta, serta para pengikutnya yang sentiasa menunjukkan ke arah jalan yang benar.

Buatmu Isteriku,

Daku coretkan warkah terakhir ini untuk dijadikan tatapan bagi dirimu setelah aku tiada lagi di dunia ini. Daku pohon segala kemaafan daripadamu di sepanjang hayatku. Aku hanyalah insan kerdil yang menumpang hidup di dalam dunia yang fana ini. Tidak ku mampu untuk menahan segala cabaran dan rintangan yang mendatang dari pelbagai arah. Aku hanyalah seorang manusia yang dipenuhi hawa nafsu seperti manusia-manusia lain yang dijadikan Allah di atas muka bumi Nya ini. Pemergianku janganlah ditangisi kerana sesungguhnya, tidak ku mampu untuk memiliki tubuh ini buat selama-lamanya. Tubuh ku ini adalah hak milik Yang Maha Esa. Akan pasti Dia akan menjemput ku pulang ke pangkuan Nya suatu hari nanti. Kealpaan serta kelalaian di sepanjang kehidupan menjadikan aku leka dalam memperjuangkan kebenaran untuk menegakkan yang hak.

Jika aku sudah tiada lagi di muka bumi Allah ini, tunaikanlah segala kewajipan yang dituntut ke atas dirimu kerana sesungguhnya yang demikian itu tidaklah datang dari diri ku yang hina ini tetapi ianya datang dari perintah Yang Maha Berkuasa. Ingatlah, hidup kita sebagai manusia yang kerdil ini hanya untuk beribadah kepada Nya. Daripada Nya kita datang dan hanya kepada Nya jua kita kembali. Saat pemergian manusia dari bumi ini tidak lain dan tidak bukan hanya untuk dihisab segala amalnya ketika di dunia. Setiap perlakuan daku walau sebesar zarah tetap akan dibalasi oleh Yang Masa Esa. Tiada apa daya lagi yang mampu aku harapkan melainkan hanya ketulusan doa mu dari hati yang suci yang mampu menjadi bekalku di akhirat kelak.

Aku juga khuatir akan pemergian ku ini akan membuatmu menjadi derita sepanjang hayat. Hanya satu pesanan ku, janganlah ditangisi pemergian ku kerana yang pergi itu hanya jasad ku yang sudah mati dan tidak bernyawa lagi tetapi kata-kata semangat yang telah aku ucapkan itu mampu menemani mu di sepanjang hayat. Andai kata kita ditakdirkan untuk berjumpa di syurga yang indah, hanya ucapan “Alhamdulillah” yang tidak terhingga yang mungkin aku ucapkan walaupun lidah ku tidak mampu berkata apa-apa ketika itu. Ku harap dikau mampu menemani ku di syurga kelak sebagai seorang bidadari di sisi ku andaikata kita masih ditakdirkan untuk bersama. Tiada apa yang mampu ku coretkan lagi dalam warkah terakhir ini. Hanya salam sayang buat isteriku yang tercinta. Semoga pertemuan kita buat kali kedua akan menjadi lebih bermakna di sisi Allah.

Buatmu dari seorang suami yang telah tiada.


Esok belum tentu matahari masih mencerah merah
entah-entah sudah padam di kelopak mata kita..

1 ulasan: